BUKU “MENYINGKAP KONSEP RASUAH” TERBITAN UUM PRESS TERIMA ANUGERAH BUKU NEGARA 2023

BUKU “MENYINGKAP KONSEP RASUAH” TERBITAN UUM PRESS TERIMA ANUGERAH BUKU NEGARA 2023

UUM ONLINE: Buku berjudul Menyingkap Konsep Rasuah terbitan UUM Press dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kategori Pengajian Tinggi (Buku Perundangan Terbaik) dalam Majlis Anugerah Buku Negara 2023 yang berlangsung pada 22 Disember 2023 di Kuala Lumpur.
 
Yang DiPertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr Haji Mohd Ali Mohd Rustam, merasmikan majlis anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara.
 
Buku ”Menyingkap Konsep Rasuah” adalah hasil suntingan pensyarah Pusat Pengajian Undang-undang, UUM COLGIS, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohamed dan Prof. Madya Dr. Yusramizza Md Isa @ Yusuff.
 
Anugerah itu telah disampaikan Naib Canselor Universiti Pergurusan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff.
 
Buku ini dihasilkan dengan kolaborasi bersama lapan staf akademik lain dari UUM COLGIS (Prof. Dr. Samihah Khalil, Pusat Pengajian Kerajaan dan Prof. Madya Dr. Mohd Zakhiri Md Nor & Prof Madya Dr. Ani Munirah Mohamad, Pusat Pengajian Undang-undang), UUM CAS (Prof. Dr. Munif Zarirruddin Fikri Nordin dan Dr. Khairiah Mohd Yassin, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah) serta UUM COB (Prof. Dr. Jamal Ali, Dr. Hanita Kadir Shahar & Dr. Adilah Azhari, Pusat Pengajian Ekonomi Kewangan dan Perbankan).
 
Buku ini digarap oleh para penyunting dan penulis bagi mendedahkan definisi, teori dan aspek yang berkaitan dengan rasuah berdasarkan bukti dan literatur yang berkualiti.
Perbincangan dalam buku ini turut melebarkan lensa falsafah terhadap aspek-aspek relevan seperti punca yang melakari rasuah, mekanismenya, pelakunya dan langkah pembanterasannya.
 
Lapan bab yang dimuatkan dalam buku ini:
1. Makna dan Konsep Rasuah dalam Pemikiran Melayu
2. Konsep Rasuah Menurut Undang-Undang di Malaysia
3. Fenomena Rasuah dalam Konteks Sejarah Peradaban–Ketamadunan Manusia
4. Bentuk Rasuah
5. Teori Berkaitan Rasuah
6. Teori Rasuah dari Sudut Ekonomi
7. Rasuah dalam Sektor Swasta: Satu Tinjauan Perundangan
8. Skandal Tadbir Urus dalam Kalangan Syarikat Tersenarai di Malaysia: Satu Kajian Kes
 
Buku ini dihasilkan melalui gaya pengolahan yang mudah difahami dan sesuai dimiliki oleh segenap kategori pembaca sama ada penggubal polisi, pengamal undang-undang, ahli akademik, pelajar ataupun orang awam.
 
Buku ini boleh diperoleh dengan harga RM35 senaskah secara dalam talian UUM Press di pautan berikut: https://uumpress.com.my/menyingkap-konsep-rasuah
 
Sumber: UUM News
 
Catatan: Prof. Madya Dr. Yusramizza Md Isa @ Yusuff juga merupakan Felo Penyelidik ARICG UUM.