Pensyarah UUM Dipilih UNODC Kendali Latihan Polis

Dr.Mukhriz UNODC compile

 

KUALA LUMPUR: United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC), salah satu organisasi utama di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah memilih Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-Undang, Dr. Mukhriz Mat Rus untuk mengendalikan program latihan kepada pegawai Polis DiRaja Malaysia (PDRM) terdiri daripada pegawai-pegawai Cawangan Khas dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti dari seluruh Malaysia.
 
Program ‘Train-the-Trainer Courses on Community Engagement for the Prevention of Violent Extremism’ anjuran UNODC bersama Kesatuan Eropah (EU), SafeInCustody dan INITIATE.MY bermula 9 hingga 18 Mei lalu.
 
Tujuan program latihan itu diadakan adalah bagi mendedahkan dan meningkatkan pemahaman pegawai polis tentang pencegahan ekstrimisme ganas melalui pendekatan pempolisan komuniti (community policing). Program latihan tersebut dilaksanakan melalui beberapa sesi syarahan dan diskusi bersama.
 
Turut terlibat mengendalikan program tersebut adalah Pegawai Pencegahan Keganasan UNODC, Ekraj Sabur; Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid dari Universiti Malaya dan Dr. Kai Li Chung, University of Reading.
 
Menurut Dr Mukhriz, pemilihannya dibuat berdasarkan bidang kepakaran dan penyelidikan beliau dalam langkah-langkah dan undang-undang bagi mencegah dan membanteras keganasan.
 
Selain itu pengalaman beliau sebagai Timbalan Pendakwa Raya sebelum menyertai UUM juga turut membantu beliau memahami dengan lebih baik bidang kepolisan dan penguatkuasaan undang-undang jenayah dan keganasan.
 
Dr Mukhriz menghargai kepercayaan yang diberikan UNODC dan turut berterima kasih kepada pihak Pusat Pengajian Undang-Undang, terutamanya Dekan, Prof. Madya Dr. Zainal Amin Ayub yang menyokong dan memudahkan urusannya dalam menjayakan program tersebut.