Perkongsian Bermanfaat Oleh Profesor Emeritus Dr. Keith A. Houghton

Prog 1

 

UUM ONLINE: Asian Research Institute for Corporate Governance (ARICG), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program ‘Engagement of Experts from Malaysia with Australia’ di Dewan Seminar C, Kompleks Konvensyen, baru-baru ini.

Program berkenaan telah disampaikan oleh Profesor Emeritus Dr. Keith A. Houghton, yang merupakan Profesor Pelawat Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC). Program ini adalah salah satu daripada sesi lawatan beliau ke Universiti Utara Malaysia.

Objektif utama program ini adalah bertujuan memberi pendedahan yang jelas tentang tip bagi membida geran antarabangsa. Manakala di sebelah petang, diadakan sesi ‘Research Proposal Clinic’ iaitu platform di mana para penyelidik berbincang dengan Profesor Keith bagi menghasilkan kertas cadangan yang berkualiti dan berimpak.

Program itu telah disertai oleh para pensyarah dan juga pelajar PhD. Pelbagai soalan telah dilontarkan di dalam sesi soal jawab oleh peserta yang hadir kepada Profesor Keith. Diharapkan sesi perkongsian memberi manfaat buat para penulis dalam menghasilkan kertas cadangan penyelidikan dan juga artikel yang berimpak tinggi.